Kerana Di Syurga Itu Segalanya Lebih Indah
“Sampai
sekarang, kadang-kadang saya masih teringat apa yang dia buat pada
saya. Rasa susah nak maafkan… Dan, katalah kalau saya maafkan diapun,
saya takkan dapat lupakan setiap kata-kata dan juga perbuatan dia pada
saya!”
Rasanya, bukan setakat penulis seorang sahaja yang pernah melalui
kejadian seperti ini. Terasa sangat sukar sekali untuk melepaskan
perasaan sakit di hati. Lagi-lagi apabila si dia yang menyakiti itu
langsung tidak ambil peduli tentang hati yang telah disakiti ini. Atau,
boleh jadi sudah tahu, tapi buat-buat tidak tahu. Dalam erti kata lain,
sengaja!
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah An-Nahl, ayat 126;
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak
lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti
yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka)
sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang
sabar.
laDari ayat inilah terbitnya hukum qisas, iaitu apabila seseorang telah
menyakiti seseorang yang lain, maka dibolehkan untuk membalas. Seperti
contoh, seseorang yang membunuh, maka balasannya adalah dibunuh juga!
Namun, jika diteliti ayat tersebut sehingga habis, adalah lebih baik
jika kita bersabar, dam erti kata lain, memaafkan.
“Awak cakap senang la, awak tak rasa apa yang saya rasa.
Cakap memang mudah, tapi nak buat, ingat senang ke? Berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul ni. Ni hati ni, sakit sangat,
tahu tak?!!”
Soal Hati
Apabila berdiskusi tentang hal yang melibatkan soal hati, saintis
terkenal sekalipun masih tidak mampu untuk merungkai misteri tentang
betapa kompleksnya struktur perasaan yang terbit daripada organ yang
paling penting itu. Nabi junjungan besar kita, Muhammad SAW apabila
berbicara tentang perasaannya terhadap saidatina A’isyah RA berbanding
dengan isteri-isteri baginda yang lain pernah berkata;
“Perasaan kasih sayang terhadap A’isyah adalah perasaan dalam hati. Aku tak dapat berlaku adil.”
Baginda adalah merupakan seorang suami yang paling berlaku adil di
antara isteri-isterinya (dari segi fizikal dan material), namun apabila
melibatkan soal perasaan, baginda sendiri mengakui bahawa ia adalah
sesuatu yang amat sukar dilakukan. Bahkan lagi, saidatina A’isyah RA
pernah mencemburui isteri baginda yang terdahulu yang mempunyai
kedudukan yang melebihi dirinya di sisi baginda, iaitu saidatina Siti
Khadijah RA.
Hal ini bukanlah menunjukkan bahawa nabi itu lemah, bahkan bagindalah
sekuat-kuat umat Islam. Tetapi, kejadian ini menunjukkan bahawa baginda
juga merupakan seorang manusia biasa yang masih punya hati dan
perasaan. Lagikan Nabipun sukar untuk berlaku adil di dalam hal seperti
ini, apatah lagi kita yang hanya berada di dalam maqam awam dengan
paras amal yang langsung tidak setanding dengan nabi ini.
Jadi Bagaimana Mahu Bersabar?
Memang benar, bukanlah mudah hendak melepaskan perasaan-perasaan
kurang enak yang selama ini bersarang di dalam hati. Namun, sebagai
orang yang percayakan setiap kejadian dan turutan itu adalah datangnya
daripada Allah, wajiblah kita paling kurangpun berusaha memperbaiki
keadaan.
Sebagai manusia yang lemah, memang kita takkan mampu untuk melawan
perasaan yang selalunya datang berserta dengan asakan sang syaitan yang
bertubi-tubi menyuruh manusia melakukan perbalahan dan pertumpahan
darah. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diberikan kekuatan untuk
bersabar di atas setiap musibah yang berlaku. Ingatlah, doa itu adalah
senjata orang-orang mukmin!
Dan bersabarlah; dan tiadalah berhasil
kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah
engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau
bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya
Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya. (Surah An-Nahl: 127-128)
Sabar, memang amat senang untuk dilafazkan, namun bukan senang untuk
diamalkan. Dalam banyak kes, ramai sebenarnya yang mengalah sewaktu
sudah hampir-hampir tiba ke garisan penamat! Alangkah ruginya. Rata-rata
memberi alasan sudah tidak mampu lagi bertahan, letih dan penat.
Ayuhai. Inilah namanya dunia, memangpun banyak perkara yang
meletihkan, lagi-lagi apabila kita meletakkan dunia sebagai keutamaan di
hati kita. Jika mahu hidup di dalam kesenangan yang tidak bertepi,
tunggulah di syurga nanti.
Jadilah Muslim Yang Mukmin!
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik RA, khadam Rasulullah SAW daripada baginda sabdanya:
“Tiada beriman seseorang kamu hingga dia
mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Daripada hadith di atas, untuk seorang Muslim bergelar Mukmin,
dianjurkan agar kita mengharapkan kebaikan buat saudara seIslam kita
sebagaimana kita mengharapkan kebaikan buat diri kita sendiri juga. Saya
pasti, setiap orang hatta yang tidak beriman kepada Allah sekalipun,
pasti berharap untuk masuk ke dalam syurga, bukan?
Pernahkah kita terfikir suatu situasi ini yang bakal terjadi di
akhirat kelak. Cuba bayangkan, setelah selesai amalan kita dihisab, kita
mendapat keputusan bahawa kita akan masuk ke syurga. Sewaktu kita
sedang melompat-lompat kegembiraan hendak melangkah masuk ke pintu
syurga itu, tiba-tiba datanglah malaikat Malik menyeret kita ke neraka.
Rupa-rupanya, ada seorang saudara yang tidak mahu memaafkan kita kerana
kesalahan yang pernah kita lakukan kepadanya sewaktu di dunia dahulu.
Sedihnya
Jika kita berfikir dari segi jangka pendek (dunia), memang
segala-galanya akan nampak menyakitkan hati. Rasa sukar untuk memaafkan
dan melupakan. Tahukah, sebagai muslim, setiap perbuatan kita mestilah
difikirkan kesan jangka panjangnya iaitu apabila berada di akhirat
kelak. Ke syurgakah, atau ke nerakakah?
Sekalipun hati masih sukar untuk melupakan apa yang telah terjadi,
tidak mengapa, kerana soal hati itu adalah soal yang amat kompleks.
Allah lebih mengerti kerana kita sendiri telah berusaha untuk
melaksanakan yang terbaik. Paling kurang, fikirkanlah nasib saudara kita
di akhirat kelak jika kita tidak mahu memaafkannya. Maka dengan itu,
maafkanlah dia di atas dasar kasih sayang sesama muslim.
Sebagaimana kita ingin masuk ke syurga, berilah juga ruang untuk
saudara kita masuk ke Syurga di sana kelak. Sekalipun kita tidak mampu
untuk seiring dengannya di dunia ini lantaran fikrah (pemikiran) yang
tidak sama, namun tujuan akhir kita tetap yang satu itu juga!
Ingatlah, syurga itu adalah sebaik-baik tempat yang penuh dengan
keajaiban. Di sana, tiada lagi kedukaan, kesedihan, mahupun keperitan!
Cuba bayangkan, kita bertemu semula dengan orang yang pernah menyakiti
kita sewaktu di dunia (atau sebaliknya), kita makan bersama, ‘shopping’
bersama, berborak bertahun-tahun tanpa henti, tanpa adanya lagi sengketa
di antara kita!
Di Syurga Segalanya Lebih Indah
Diposkan Oleh: Nur Hanizah Ahmad