opick-rapuh

Sunday 13 May 2012

Kerana Di Syurga Itu Segalanya Lebih Indah

“Sampai sekarang, kadang-kadang saya masih teringat apa yang dia buat pada saya. Rasa susah nak maafkan… Dan, katalah kalau saya maafkan diapun, saya takkan dapat lupakan setiap kata-kata dan juga perbuatan dia pada saya!”
Rasanya, bukan setakat penulis seorang sahaja yang pernah melalui kejadian seperti ini. Terasa sangat sukar sekali untuk melepaskan perasaan sakit di hati. Lagi-lagi apabila si dia yang menyakiti itu langsung tidak ambil peduli tentang hati yang telah disakiti ini. Atau, boleh jadi sudah tahu, tapi buat-buat tidak tahu. Dalam erti kata lain, sengaja!
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah An-Nahl, ayat 126;
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
laDari ayat inilah terbitnya hukum qisas, iaitu apabila seseorang telah menyakiti seseorang yang lain, maka dibolehkan untuk membalas. Seperti contoh, seseorang yang membunuh, maka balasannya adalah dibunuh juga! Namun, jika diteliti ayat tersebut sehingga habis, adalah lebih baik jika kita bersabar, dam erti kata lain, memaafkan.

Awak cakap senang la, awak tak rasa apa yang saya rasa. Cakap memang mudah, tapi nak buat, ingat senang ke? Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul ni.  Ni hati ni, sakit sangat, tahu tak?!!”
Soal Hati
Apabila berdiskusi tentang hal yang melibatkan soal hati, saintis terkenal sekalipun masih tidak mampu untuk merungkai misteri tentang betapa kompleksnya struktur perasaan yang terbit daripada organ yang paling penting itu. Nabi junjungan besar kita, Muhammad SAW apabila berbicara tentang perasaannya terhadap saidatina A’isyah RA berbanding dengan isteri-isteri baginda yang lain pernah berkata;
“Perasaan kasih sayang terhadap A’isyah adalah perasaan dalam hati. Aku tak dapat berlaku adil.”
Baginda adalah merupakan seorang suami yang paling berlaku adil di antara isteri-isterinya (dari segi fizikal dan material), namun apabila melibatkan soal perasaan, baginda sendiri mengakui bahawa ia adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Bahkan lagi, saidatina A’isyah RA pernah mencemburui isteri baginda yang terdahulu yang mempunyai kedudukan yang melebihi dirinya di sisi baginda, iaitu saidatina Siti Khadijah RA.
Hal ini bukanlah menunjukkan bahawa nabi itu lemah, bahkan bagindalah sekuat-kuat umat Islam. Tetapi, kejadian ini menunjukkan bahawa baginda juga merupakan seorang manusia biasa yang masih punya hati dan perasaan. Lagikan Nabipun sukar untuk berlaku adil di dalam hal seperti ini, apatah lagi kita yang hanya berada di dalam maqam awam  dengan paras amal yang langsung tidak setanding dengan nabi ini.
Jadi Bagaimana Mahu Bersabar?
Memang benar, bukanlah mudah hendak melepaskan perasaan-perasaan kurang enak yang selama ini bersarang di dalam hati. Namun, sebagai orang yang percayakan setiap kejadian dan turutan itu adalah datangnya daripada Allah, wajiblah kita paling kurangpun berusaha memperbaiki keadaan.
Sebagai manusia yang lemah, memang kita takkan mampu untuk melawan perasaan yang selalunya datang berserta dengan asakan sang syaitan yang bertubi-tubi menyuruh manusia melakukan perbalahan dan pertumpahan darah. Berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diberikan kekuatan untuk bersabar di atas setiap musibah yang berlaku. Ingatlah, doa itu adalah senjata orang-orang mukmin!
Dan bersabarlah; dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah An-Nahl: 127-128)
Sabar, memang amat senang untuk dilafazkan, namun bukan senang untuk diamalkan. Dalam banyak kes, ramai sebenarnya yang mengalah sewaktu sudah hampir-hampir tiba ke garisan penamat! Alangkah ruginya. Rata-rata memberi alasan sudah tidak mampu lagi bertahan, letih dan penat.
Ayuhai. Inilah namanya dunia, memangpun banyak perkara yang meletihkan, lagi-lagi apabila kita meletakkan dunia sebagai keutamaan di hati kita. Jika mahu hidup di dalam kesenangan yang tidak bertepi, tunggulah di syurga nanti.
Jadilah Muslim Yang Mukmin!
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik RA, khadam Rasulullah SAW daripada baginda sabdanya:
Tiada beriman seseorang kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada hadith di atas, untuk seorang Muslim bergelar Mukmin, dianjurkan agar kita mengharapkan kebaikan buat saudara seIslam kita sebagaimana kita mengharapkan kebaikan buat diri kita sendiri juga. Saya pasti, setiap orang hatta yang tidak beriman kepada Allah sekalipun, pasti berharap untuk masuk ke dalam syurga, bukan?
Pernahkah kita terfikir suatu situasi ini yang bakal terjadi di akhirat kelak. Cuba bayangkan, setelah selesai amalan kita dihisab, kita mendapat keputusan bahawa kita akan masuk ke syurga. Sewaktu kita sedang melompat-lompat kegembiraan hendak melangkah masuk ke pintu syurga itu, tiba-tiba datanglah malaikat Malik menyeret kita ke neraka. Rupa-rupanya, ada seorang saudara yang tidak mahu memaafkan kita kerana kesalahan yang pernah kita lakukan kepadanya sewaktu di dunia dahulu.
Sedihnya
Jika kita berfikir dari segi jangka pendek (dunia), memang segala-galanya akan nampak menyakitkan hati. Rasa sukar untuk memaafkan dan melupakan. Tahukah, sebagai muslim, setiap perbuatan kita mestilah difikirkan kesan jangka panjangnya iaitu apabila berada di akhirat kelak. Ke syurgakah, atau ke nerakakah?
Sekalipun hati masih sukar untuk melupakan apa yang telah terjadi, tidak mengapa, kerana soal hati itu adalah soal yang amat kompleks. Allah lebih mengerti kerana kita sendiri telah berusaha untuk melaksanakan yang terbaik. Paling kurang, fikirkanlah nasib saudara kita di akhirat kelak jika kita tidak mahu memaafkannya. Maka dengan itu, maafkanlah dia di atas dasar kasih sayang sesama muslim.
Sebagaimana kita ingin masuk ke syurga, berilah juga ruang untuk saudara kita masuk ke Syurga di sana kelak. Sekalipun kita tidak mampu untuk seiring dengannya di dunia ini lantaran fikrah (pemikiran) yang tidak sama, namun tujuan akhir kita tetap yang satu itu juga!
Ingatlah, syurga itu adalah sebaik-baik tempat yang penuh dengan keajaiban. Di sana, tiada lagi kedukaan, kesedihan, mahupun keperitan! Cuba bayangkan, kita bertemu semula dengan orang yang pernah menyakiti kita sewaktu di dunia (atau sebaliknya), kita makan bersama, ‘shopping’ bersama, berborak bertahun-tahun tanpa henti, tanpa adanya lagi sengketa di antara kita!
Di Syurga Segalanya Lebih Indah

Diposkan Oleh: Nur Hanizah Ahmad 

No comments:

Post a Comment