FARDU KIFAYAH DALAM ISLAM
Masyarakat   Islam khususnya di Malaysia sering dikemukakan dengan persoalan fardu ain dan   fardu kifayah. Tetapi ramai antara kita barangkali tidak begitu jelas tentang   perbezaan kedua-dua istilah tersebut. Kita juga sering gagal membezakan   sesuatu itu fardu ain atau fardu kifayah. Untuk menghindarkan keliruan inilah   kita perlu melihat kepada perbezaan garis pemisah  di antara kedua-dua konsep tersebut. Kegagalan memahaminya   menyebabkan individu Muslim sering menganggap fardu ain itu sebagai fardu   kifayah dan begitulah sebaliknya. Kesilapan seumpama ini menyebabkan   terabainya sesetengah dari ajaran Islam untuk dihayati secara amali dalam   kehidupan.
Menurut   Ilmu Usul Fiqh, fardu ain atau dikenali juga dengan wajib ‘aini ditakrifkan   sebagai perbuatan yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang mukallaf seperti   sembahyang lima waktu dan sebagainya (A. Hanafi M.A., Usul Fiqh). Dari definasi tersebut dapatlah difahamkan bahawa   fardu ain adalah pekerjaan yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam dalam   keadaan individu Muslim itu cukup syarat-syaratnya seperti berakal, baligh   dan sebagainya.
Seseorang   Muslim yang meninggalkan kewajiban ini menyebabkan dia menanggung dosa besar   di samping mengurangkan ciri-ciri kesempurnaan keislaman ke atas dirinya.   Dalam erti kata yang lebih singkat, fardu ain adalah kewajiban bagi setiap   individu Muslim. 
Sementara   itu fardu kifayah ditafsirkan sebagai “perbuatan yang wajib dilakukan oleh   seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam, tanpa melihat siapa yang   mengerjakannya. Apabila telah dilakukan maka hilanglah tuntutan kewajiban itu   terhadap orang lain. Tetapi apabila tidak ada seseorang pun yang   melakukannya, maka semuanya berdosa, seperti mendirikan tempat beribadat,   rumah sakit, menyembahyangkan mayat dan sebagainya(A. Hanafi M.A., Ibid). 
Dengan   lain-lain perkataan fardu kifayah adalah kefarduan yang wajib dikerjakan oleh   seseorang atau satu kumpulan yang mewakili masyarakat Islam, sebuah daerah   Islam, negeri ataupun negara. Apabila kefarduan itu telah disempurnakan, maka   kewajiban tersebut menjadi gugur bagi seluruh anggota masyarakat yang   terlibat
Dengan   itu dapatlah ditegaskan bahawa fardu kifayah mempunyai ruang lingkup   yang  luas yang melibatkan seluruh aspek   hidup seperti soal-soal ekonomi, politik dan perundangan, termasuk soal   ketenteraan dan lain-lain.
Di   sini kita juga dapat melihat bahawa perbezaan yang ketara di antara dua   kewajiban ini ialah fardu ain wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim   yang mukallaf, manakala fardu kifayah hanyalah wajib dikerjakan oleh   seseorang  atau sekumpulan orang   sahaja.
Perbezaan   yang lain adalah fardu ain merupakan kewajiban yang merupakan ibadat-ibadat   yang khusus dan fardu kifayah pula adalah kerja-kerja yang berkaitan dengan   kemasyarakatan dan kenegaraan.
Dari   huraian di atas dapatlah difahamkan bahawa fardu ain adalah kerja-kerja   seorang Muslim yang lebih berhubungan dengan Khaliknya dan fardu kifayah pula   bersifat kemaslahatan dan kepentingan umat Islam yang lebih berhubungan   dengan makhluk di sekitarnya. 
Kepentingan   kedua-dua konsep tersebut terdapat dalam firman Allah yang bemaksud   “Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali   mereka yang berhubungan dengan tali Allah dan tali daripada manusia” (Ali   Imran 112), di mana tali Allah adalah hubungan peribadi yang bersifat fardu   ain dengannya, sementara tali dari manusia adalah kerja-kerja yang bersifat   fardu kifayah.
Kesempurnaan   dan keindahan Islam tidak akan dapat dilihat jika kewajiban-kewajiban kifayah   ini diabaikan oleh masyarakat Islam. Islam    sebagai ajaran yang syumul (menyeluruh) berdasarkan manhaj rabbani   melibatkan proses pembinaan peribadi Muslim, keluarga dan umah Islam dan   khalifah Islam yang bersifat international.    Dalam proses pembinaan individu Muslim misalnya, penglibatan anggota   masyarakat sekitar adalah penting untuk melahirkan seorang Muslim yang baik   kerana individu Muslim tidak dapat dibina tanpa kerjasama para guru, kaum   ulama, masyarakat sekitar dan sebagainya yang melibatkan sistem pendidikan   dan etika Islam yang dihayati secara langsung oleh sesebuah masyarakat.
Tingkah   laku sosial seseorang umpamanya amat terpengaruh dengan suasana persekitaran.   Keadaan sekeliling yang penuh dengan maksiat, pergaulan bebas ala Barat dan   sebagainya, adalah amat menyimpang dari ajaran Islam.
Di   sinilah perlu diwujudkan suasana yang bercorak Islam atau persekitaran yang   selari dengan Islam jika kita ingin membentuk syaksiah Islamiah atau peribadi   Muslim.
Dengan   demikian kewujudan persekitaran yang bercorak Islam menjadi fardu kifayah ke   atas sesebuah masyarakat Islam. Tanpa persekitaran yang seperti ini,   usaha-usaha kearah pembentukan peribadi Muslim akan menemui kegagalan kerana   memang tabiat manusia itu adalah amat dipengaruhi oleh suasana   persekitarannya.
Usaha-usaha   pembinaan peribadi Muslim adalah tahap pertama dalam merealisasikan cita-cita   dan tujuan dari ajaran Islam yang syumul itu. Pembinaan peribadi Muslim   mestilah diikuti dengan pembentukan keluarga Islam, ummah Islamiah, negara   Islam, khalifah Islam dan seterusnya dunia    Islam.
Tanpa   semuanya itu, Islam tidak akan dapat dilihat sebagai cara hidup yang lengkap   dan sempurna. Apalagi dalam keadan sekarang ini umat Islam menjadi pelarian,   rumah dan harta benda mereka dibakar, wanita-wanita mereka dizalimi dan   bebagai-bagai lagi kekejaman akibat peperangan dan ekspoitasi   ekonomi-politik. 
Negara-negara   umat Islam pula tidak mempunyai sebarang kekuatan, seluruh keperluan mereka   bergantung kepada negara-negara blok Barat dan Timur, khususnya negara-negara   kapitalis dan sosialis, terutama dalam bidang ekonomi, persenjataan,   pendidikan, kepakaran dan sebagainya.
Seperti   yang telah disebutkan, kewajiban yang bercorak kifayah itu gugur apabila   telah ada seorang atau sekumpulan orang yang menunaikannya secara sempurna.   Proses pelaksanaan yang belum mencapai tahap kesempurnaan menyebabkan   kelompok masyarakat yang berkenaan masih dianggap berdosa.
Contohnya   apabila dua atau tiga orang yang menguruskan jenazah dengan tidak mengikut   syarat dan rukun-rukunnya, maka anggota masyarakat yang lain masih dikira   berdosa. Ibnu Thaimiyah menegaskan bahawa “sesungguhnya para fuqaha Islam   pada keseluruhannya berpendapat tentang pertukangan dan perusahaan seperti   bertenun, pembinaan bangunan dan sebagainya adalah merupakan fardu kifayah.”
Dalam   menunaikan tanggungjawab dakwah seperti menegakkan kebenaran dan mencegah   kemungkaran, Islam mengarahkan supaya perkara tersebut wajib dilakukan oleh   sekumpulan orang-orang Islam. Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah ada   diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada   yang makruf dan mencegah kemungkaran, dan mereka itulah orang-orang yang   beroleh kejayaan (Ali Imran: 104)
Prof   Dr. Yusuf Al Qardawy dalam kitab Al-Hillul Islami telah menggariskan   bidang-bidang yang perlu digarap dan ditangani oleh umat Islam sama ada pihak   pemerintah maupun rakyat dalam proses mengembalikan semula kebangkitan umat   Islam seluruhnya untuk menghayati sistem yang sesuai dengan cita-cita Islam.   Bidang-bidang yang dimaksudkan ialah bidang-bidang kerohanian dan akhlak,   pendidikan dan kebudayaan, kemasyarakatan, ekonomi, ketenteraan, politik dan   perundangan.
Tanpa   memperincikan perkara-perkara yang telah digariskan itu, kita masih dapat   melihat di mana keperluan-keperluan yang merangkumi bidang yang berperanan   dalam masyarakat Islam bermula dari individu hinggalah sampai ke peringkat   negara yang sekiranya benar-benar beroperasi secara yang dikehendaki   merupakan sumbangan terbesar terhadap kelansungan umat Islam itu sendiri.
Keperluan   tersebut dapat dibahagikan kepada beberapa tahap atau peringkat seperti   peringkat kampung, daerah, negeri, negara dan peringkat internasional.
Dari   pemaparan ini, kita melihat bahawa keperluan untuk mewujudkan sebuah wilayah   Islam yang bermula dari pembentukan individu sehinggalah dunia Islam   antarabangsa masih terlalu jauh dari realiti. Satu proses perubahan yang   menyeluruh perlu dilakukan untuk mencapai dan menjamin terwujudnya   perkara-perkara di atas, sehingga Islam dapat menjadi satu kuasa yang besar   dan dihormati.
dambil dari : http://mindarakyat_2.tripod.com/2001feb/i2001-0495.htm
No comments:
Post a Comment