KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH
Khalifah
Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam
menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang
merasa segan dan hormat kepadanya. Sayyidina Umar mempunyai beberapa
orang anak laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar. Ia juga
terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.
Suatu
hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang
dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya
akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan
tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah
lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di
sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga
terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta
sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.
Dalam
keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani
Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring,
lalu mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu
mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga berjaya
mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak
berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai oleh
syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.
Akibat
perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak
yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin
bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya. Kebetulan yang
menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu
Khattab.
"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku."
Mendengar
kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan.
Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini adalah keturunan darah
daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah." Sayyidina Umar bertanya:
"Dengan jalan halal atau haram?"
Perempuan
itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang
nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada
pihak Abu Syahamah, anak ini haram."
Sayyidina
Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar
ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang.
Perempuan
itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa
dirinya sehingga melahirkan anak itu. Sayyidina Umar mendengar pengakuan
perempuan itu sehingga menitiskan air mata. Kemudian Sayyidina Umar
menegaskan: "Wahai perempuan jariyah (jariyah adalah panggilan budak
perempuan bagi orang Arab), ceritakanlah perkara yang sebenarnya supaya
aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya dan
seadil-adilnya."
Perempuan
itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan kehendaki
daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup
bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."
Lalu
Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan perempuan itu pun
bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian
bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari
darah daging anakmu Abu Syahamah." Kemudian Sayyidina Umar berkata:
"Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau
berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian sahabat
Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku kembali."
Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan malang
itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga puluh dinar dan
sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di
dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu
berhadapan dengan Allah nanti." Perempuan itu pun mengambil wang dan
kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah
bersama-sama dengan anaknya.
Setelah
perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya:
"Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku
kembali."
Sayyidina
Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang
menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata:
"Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita makan sama-sama.
Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk kehidupan dunia."
Mendengar
perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata, "Wahai
ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku
untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Kata
Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah Maha
Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah
Maha Luas Penglihatannya." Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih ingatkah
engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di perkampungan Yahudi
dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk?
Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi perkampungan Bani
Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu
memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa."
Abu
Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil
diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar
aku lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu."
Sayyidina
Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat suatu
kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang
pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi engkau telah
memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi
Wasallam."
Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu.
"Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah.
"Kerana
aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas
daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.
Abu
Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama
Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di
hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."
Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu."
Apabila
sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di
belakangmu wahai Amirul Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai
sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri dan
dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang
menyampaikan khabar tadi."
Kemudian
Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih, pukullah
anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan
kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah."
Muflih
agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu akan
memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila
diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul Abu Syahamah
sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan:
"Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada jasadku."
Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari jasadmu."
Kemudian
Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan lagi.
Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku
dapat mengambil sedikit kesenangan."
Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan."
Setelah
itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak
sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon
kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat
bertaubat."
Jawab
Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku
menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka
bertaubatlah dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun maka
lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."
Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.
Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum seteguk air."
Sayyidina
Umar menjawab dengan tegas: "Wahai anakandaku, seandainya ahli neraka
dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air
minum."
Perintah
Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi sebanyak
sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku,
dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku."
Sayyidina
Umar dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu
di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat."
Sayyidina
Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh
kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai
ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum
aku mati?"
Sayyidina
Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya
engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat
nanti."
Sayyidina
Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan.
Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku,
rasanya seperti sudah sampai ajalku....."
Sayyidina
Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika engkau
bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku
kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."
Di
saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih
memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah
dengan kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para
hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu tidak meminta
pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?"
Kemudian
salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkata:
"Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan
kasihanilah dia."
Sayyidina
Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah
kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya:
"Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada keduanya dalam menjalankan
hukum Allah." Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat
Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus
memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi. Akhirnya Abu Syahamah
mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat
sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari
kiamat.
Kemudian
berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan
hak Allah." Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.
"Wahai
Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila
melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar
mengisytiharkan: "Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu
Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar pengumuman itu ramailah
umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.
Menurut
sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul
Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah
disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah
'Anhu. Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya
Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah
Sallalllahu 'Alaihi Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama,
berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan
berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam
berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan
beritahu kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya
kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya
sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa
bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah telah
sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha
Kuasa.
Diposkan oleh: Nur Hanizah Ahmad.
No comments:
Post a Comment