MENUTUP AURAT ADALAH WAJIB UNTUK UMAT ISLAM

MENUTUP
 aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang 
masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut 
Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah 
mempersendakan hukum atau syariat Islam. Bolehkah ustaz memberikan 
nas-nas dari al-Quran ataupun rujukan hadis yang menjelaskan balasan 
bagi wanita Islam yang tidak menutup aurat.
JAWAPAN DALAM
 kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan maknatabarruj ialah
 apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada
 lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa 
sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya 
supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan 
fesyen pakaian.
Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita.
 Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat 
tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.
Kumpulan pertama
 menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah 
perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta
 memahami cara yang betul dalam menutup aurat.
Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori mutakhir ini cukup banyak.
Menutup
 aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi 
memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. 
Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama 
potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.
Hakikatnya,
 pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih 
cetek. Ungkapan “Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup.” 
Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang 
dangkal.
Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik. Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?
Itulah
 manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan 
dirinya dengan yang lebih baik, manakala dalam urusan agama 
membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.
Tidak
 salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek 
fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang 
berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan 
bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba 
lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, 
sihat dan sebagainya.
Manusia
 itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan
 manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain 
tidak bukan ialah Allah SWT.
Dialah
 yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang
 menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu 
wahai wanita hendaklah menutup aurat.
Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu.
 Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti 
makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung
 sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila
 disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat 
dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan
 hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu 
mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman 
dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu 
kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan 
semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang 
mencemarkan diri kamu – Wahai ‘AhlulBait’dan hendak membersihkan kamu 
sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)
Seorang
 ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: “Tabarrujwanita 
bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya
 dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala 
perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya.” (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 
482-483).
Manakala
 Abu Ubaidah berpendapat: “Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan
 kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah.”(Tafsir 
al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)
Ulasan
 ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman 
jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang
 sudah menutupi kepala mereka.
Setelah
 Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah 
sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.
Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan
 hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan 
bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus 
dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. 
Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang 
mencemarkan daripada kamu, hai ‘ahl al-bait’ dan membersihkan kamu 
sebersih-bersihnya.
Lantaran
 itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga 
tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. 
Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita 
Islam di zaman Nabi SAW.
Generasi
 al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah 
Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang 
bantahan dan alasan.
Sebagai
 balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan 
akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah 
dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang 
tidak tergambar nikmatnya.
Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.
Dulu,
 zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman 
itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. 
Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan 
pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.
Wanita
 Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, 
perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara 
lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.
Maksudnya
 pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. 
Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, 
gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan
 sebagainya?
Keruntuhan
 moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana 
manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal 
kemerdekaan berlaku hari ini.
Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.
Kecantikan
 seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. 
Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan
 tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada 
unsur-unsur keagamaan pada dirinya.
Jarang
 pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. 
Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. 
Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan 
suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka 
sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.
Diposkan oleh: Nur Hanizah Ahmad  
No comments:
Post a Comment