opick-rapuh

Sunday 9 September 2012

Masalah Gejala Sosial

MASALAH GEJALA SOSIAL

Antara gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah ponteng sekolah dan kelas, merosakkan harta benda sekolah dan awam, merokok, mencuri, buli, gangsterisme, penyalahgunaan dadah, rempit, pergaulan bebas, melihat atau menonton bahan lucah, seks luar nikah, pelacuran, pembuangan bayi dan telah sampai ke peringkat membunuh. Di samping itu terdapat juga gejala sosial dalam aspek meninggalkan atau tidak memahami ajaran agama seperti tidak solat, tidak berpuasa, tidak tahu mengangkat hadas besar, tidak tahu membaca al-Quran dan sebagainya.

A. Latar Belakang Gejala Sosial di Malaysia

Pada tahun 1960-an, negara dikatakan masih baru menerima kemerdekaan dan isu-isu sosial remaja sangat jarang diperkatakan. Namun, perhimpunan golongan “hipi” di Woodstock, Amerika Syarikat sekitar tahun 1969 secara tidak langsung memulakan satu lembaran baru dalam episod kehidupan remaja di Malaysia dan isu pergolakan sosial remaja mula muncul di negara ini pada tahun tersebut. Pengaliran budaya tersebut ke negara ini telah memberi impak yang negatif kepada masyarakat Malaysia kerana kehidupan mereka sering kali dikaitkan dengan masalah dadah. Ini disebabkan pengikut budaya “hipi” dan penagihan dadah dikatakan agak sinonim kemunculan kumpulan muzik yang memuja dadah dalam nyanyian mereka seperti Rolling Stone merangsangkan lagi pertumbuhan masalah dadah di kalangan remaja di Malaysia. Malah, salah satu nama simbolik untuk dadah yang selalu digunakan oleh remaja pada masa tersebut adalah stone. Penularan budaya “hipi” terutama dalam kalangan remaja Bandar pada penghujung tahun 1960-an jadi merebak sehingga awal tahun 1970-an. Budaya ini amat jauh bertentangan dengan norma kehidupan yang dipraktikkan oleh masyarakat timur. Budaya “hipi” juga dikatakan sebagai penjajahan mental remaja manusia supaya terus terikat dengan budaya kolonial yang dibawa sebelum ini. Bersama-sama dengan pengaruh “hipi”, masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja mula menyerang negara sehingga kerajaan mengambil langkah untuk mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara. Malah, peperangan ke atas musuh utama ini masih berjalan sehingga sekarang. Pada pertengahan tahun 1970-an, masalah penagihan dadah yang tidak pernah berkurangan ditambah pula dengan masalah penagihan alkohol.

Kemelesetan ekonomi dunia yang menyebabkan kadar pengangguran dan kemiskinan penduduk meningkat. Kesannya, ramai remaja melepak di kompleks membeli-belah sambil mendengar lagu irama rock dan berimej “punk” dan “Mohican” . Budaya ini menjadi kegilaan remaja pada masa itu sebagai langkah melarikan diri daripada realiti kehidupan sebenar yang perlu mereka tempuhi. Imej devian yang dibawa oleh remaja yang berkumpul secara beramai-ramai tanpa hala yang pasti itu merupakan satu proses penyesuaian diri dengan pengaruh muzik yang mereka dengar dan dianggap up to date. Fenomena tersebut juga dikenali sebagai “budaya lepak” dan ia menjadi satu masalah sosial negara yang menarik perhatian kerajaan untuk bertindak tegas kepada golongan remaja terbabit. Pada pertengahan tahun 1980-an pula, Pelan Induk Perindustrian Negara Pertama diperkenalkan dan Dasar Pensyarikatan serta Penswastaan dilaksanakan. Kepesatan pembangunan perindustrian negara menyebabkan berlakunya migrasi golongan muda dari kawasan luar bandar ke bandar untuk memenuhi permintaan tenaga buruh di sektor tersebut. Seiringan dengan itu masalah bohsia dan bohjan atau kegiatan seks bebas dalam kalangan remaja mula dihadapi oleh negara. Ketika itu juga, masalah penagihan dadah bentuk baru seperti menghidu gam dan petrol serta penggunaan ubat batuk secara berlebihan bermula. Walaupun ketiga-tiga jenis bahan rangsangan tersebut bukanlah jenis dadah yang sebenar tetapi tujuan penggunaannya adalah sama iaitu untuk menjadikan diri berada dalam keadaan khayal. Ia digemari oleh remaja kerana harganya murah dan mudah didapati. Penggunaan bahan ransangan seperti gam dan ubat batuk itu tadi secara langsung mengikat diri remaja untuk mencuba dadah-dadah lain yang lebih berat dan berbahaya seperti ganja (ia juga dikenali sebagai dam, pot, stone, sayur dan tahi kambing), heroin (juga dikenali sebagai chok, tepung, teh dan fit) dan morfin (atau dipanggil quenn, dragon dan serbuk).

Pada awal tahun 1990, kerajaan melancarkan Dasar Pembangunan Nasional sebagai ganti kepada Dasar Ekonomi Baru serta menjadikan Wawasan 2020 sebagai pemacu pembangunan negara untuk menjadi sebuah negara maju. Salah satu cabaran Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya yang mempunyai warganegara yang kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan serta didorong oleh tahap etika paling tinggi. Walau bagaimanapun, ketika kerajaan melancarkan matlamat ini masalah pembungan bayi sedang hebat berlaku di Malaysia. Ia berpunca daripada kegiatan “bohsia” dan “bohjan” yang wujud pada pertengahan tahun 1980-an dahulu yang mengamalkan seks bebas tanpa batasan. Remaja pada peringkat umur yang terlalu muda dan terlanjur mengambil jalan mudah menyelesaikan masalah malu dan takut mereka dengan membuang anak sendiri di tempat pelupusan sampah, sungai, semak, kawasan pembinaan dan sebagainya. Namun, sehingga pertengahan tahun 1990-an, fenomena kegiatan seks bebas dan pembuangan bayi di kalangan remaja masih berlarutan.

Dalam tahun 1991-1996, sejumlah 278 kes telah direkodkan. Peningkatan yang ketara sebanyak 90 peratus dikenal pasti berlaku khususnya sepanjang tempoh tahun 1994, 1995 dan 1996. Kemakmuran pertumbuhan ekonomi negara ketika itu dikatakan penyebab utama fenomena ini berlaku. Kenyataan tersebut tidak terlalu prejudis atau dibuat secara semberono tetapi mempunyai asas yang kukuh dan ada kewajarannya memandangkan bentuk keluarga tradisional telah bertukar kepada keluarga nukleas di bandar dan kaum wanita mulai memasuki pasaran kerja secara beramai-ramai menyebabkan ikatan kekeluargaan semakin longgar. Pada masa yang sama, anak-anak remaja kehilangan perhatian dan tumpuan yang sepatutnya diberikan oleh ibu bapa. Malah, Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) dengan jelas mengaitkan fenomena sosial remaja ini dengan faktor seperti kepesatan perbandaran, kemajuan perindustrian dan penghijrahan penduduk.

Pada tahun 1996, Pelan Induk Perindustrian Negara Kedua serta RM-7 dilancarkan dan masalah kegiatan seks bebas remaja diganti pula dengan aktiviti pelacuran bawah umur. Selain itu, penagihan dadah berbentuk pil psikotik atau pil khayal seperti amphetamine, extacy dan syabu turut dikesan dalam kehidupan sosial remaja. Walhal, RM-7 sendiri meletakkan matlamat menangani gejala sosial di kalangan remaja sebagai satu rangka dasar penting yang mesti yang mesti dilaksanakan kerajaan. Sebelum ini, tidak pernah ada satu pun rancangan Malaysia yang dibuat menyentuh secara spesifik tentang perkara menangani masalah sosial. Rangka dasar bagi menangani masalah sosial yang terkandung dalam RM-7 dinyatakan seperti berikut:
"Kemajuan perindustrian dan peningkatan pembandaran serta penghijrahan luar bandar ke bandar telah mengakibatkan berlakunya peningkatan tingkah laku sosial yang negatif. Masalah sosial seperti penagihan dadah, penderaan kanak-kanak, lepak, jenayah juvana, gaya hidup yang tidak sihat serta ketegangan dalam keluarga telah mula timbul. Dalam tahun 1994, 17 600 kes penagihan dadah; 8938 kes AIDS; 871 kes penderaan kanak-kanak dan 4774 kes lari dari rumah telah dilaporkan. Dengan mengambil kira kes yang tidak dilaporkan, situasi ini mungkin lebih teruk dan masalah ini boleh merosakkan moral generasi akan datang jika langkah tidak diambil untuk mengatasinya. Dalam konteks ini, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa peringkat tinggi antara agensi untuk menggubal dasar dan program bagi meningkatkan lagi pembangunan sosial dan keluarga. Sokongan institusi akan dikaji semula bagi membolehkan tumpuan yang lebih besar dan penyelarasan program pencegahan dan pemulihan bagi kumpulan sasaran khusus seperti kanak-kanak, belia dan ibu bapa. Pendidikan agama dan moral akan dipergiatkan bagi memupuk tingkah laku yang baik dan menggalakkan gaya hidup sihat".

Sehubungan itu, pemberian seks secara percuma oleh gadis-gadis remaja yang bergelar “bohsia” melalui pergaulan bebas didapati tidak lagi diamalkan memandangkan kepesatan pembangunan ekonomi negara menuntut mereka “menghargai” kehidupan melalui penampilan gaya hidup yang lebih mewah. Oleh yang demikian, seks bebas yang bertujuan untuk keseronokan tadi bertukar kepada perkhidmatan seks berbayar dan mereka secara langsung bergelar “bohsia berbayar” atau dalam kajian pelacuran dikenali sebagai pelacur meskipun mereka masih di bawah umur. Kegawatan ekonomi yang melanda negara semenjak pertengahan tahun 1997 menjadikan aktiviti pelacuran remaja semakin meningkat sehingga ke hari ini. Dari tahun 1989-1999, Kuala Lumpur dan Johor mencatatkan jumlah tangkapan gadis pelacur tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Gadis daripada etnik Cina dan Melayu didapati paling ramai melibatkan diri dalam aktiviti pelacuran di Malaysia.

Kajian yang dibuat oleh Lukman Z. Mohamad dan Zuriana Zahrin terhadap 60 orang gadis remaja bawah 21 tahun yang ditahan di pusat pemulihan akhlak kerana kesalahan melacurkan diri mendapati sebahagian besar remaja yang menjadi pelacur (85.0%) berada dalam lingkungan 15-20 tahun. Namun, terdapat segelintir mereka (13.3%) yang berusia 12-14 tahun. Situasi sebegini amat memeranjatkan kerana pada usia yang begitu muda mereka berani mengambil risiko yang tinggi dalam usaha mengejar kemewahan hidup.

Pada penghujung 1990-an Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) berkembang dan begitu pesat di Malaysia. Internet telah semakin banyak dipasang dan digunakan di rumah-rumah. Perkembangan internet walaupun banyak faedahnya daripada segi capaian ilmu pengetahuan dan komunikasi tetapi telah mendedahkan masyarakat kepada bahan pornografi atau lucah dan golongan remaja tidak terkecuali daripada menerima kesan buruk ini. Para remaja mengambil kesempatan untuk melayari laman-laman web lucah ketika ibu bapa tiada di rumah atau ketika ibu bapa mereka tidur. Bahkan di ketika ibu bapa sedang jaga pun masih ada yang melayarinya kerana banyak ibu bapa yang tidak mahir dengan komputer dan internet membolehkan para remaja berkenaan menggunakan cara hide windows ketika ibu bapa datang ke arah mereka. Keadaan ini ditambah buruk lagi dengan penjualan video cereka padat (VCD) lucah yang boleh dikatakan mudah didapati di bandar-bandar besar. Kini masalah ini semakin berleluasa di mana video-video lucah dengan mudah boleh dimuat turun daripada internet secara mudah. Dengan perkembangan teknologi telefon bimbit, kini, klip-klip gambar dan video lucah boleh dihantar melalui telefon bimbit. Keadaan ini telah menyebabkan penyebaran bahan-bahan lucah dalam kalangan remaja semakin sukar dikawal. Salah satu lagi yang membuka jalan kepada pendedahan terhadap info dan bahan-bahan lucah dalam kalangan remaja ialah aktiviti chatting melalui ruangan sembang maya. Remaja dapat “bersembang” dengan sesiapa sahaja tanpa terlebih dahulu mengenali orang berkenaan. Ini menyebabkan mereka tidak segan untuk bersembang tentang sebarang hal termasuklah yang berkaitan dengan seks. Ada yang disebabkan oleh rasa ingin tahu mengambil kesempatan untuk bertanya hal-hal seks kepada orang yang lebih berpengalaman. Ada kalanya mereka mendapat info tentang tentang seks dan laman web lucah daripada pengguna ruangan chatting yang nakal walaupun mereka tidak berniat untuk mencarinya. Hasil daripada chatting ada kalanya membawa kepada pertemuan antara pasangan yang pernah berchatting dan hal ini banyak berlaku dalam kalangan remaja. Akibatnya, ada remaja perempuan yang telah dirogol setelah bertemu dengan teman chatting dan ada yang melakukan hubungan seks setelah berkali-kali bersembang tentang seks dan melakukan cyber sex di ruangan chatting.
Copy by:Fatimah

No comments:

Post a Comment