opick-rapuh

Monday 10 September 2012

SAIDINA HAMZAH R.A.: PENGHULU SYUHADA

Riwayat Hidup
Saidina Hamzah r.a. merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW, iaitu dari sebelah bapa Baginda. Beliau Dilahirkan pada tahun 570 Masihi, di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau sangat rapat dengan Rasulullah SAW sejak kecil. Hobi beliau adalah memanah dan memburu. Beliau pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW. Beliau juga digelar 'Asadullah' yang bermaksud 'Singa Allah" kerana keberaniannya di medan perang. Juga digelar 'Sayyidus Syuhada' (penghulu orang yang mati syahid) kerana mati dalam peperangan Uhud pada tahun ke 3 Hijrah dan dimakamkan berdekatan Bukit Uhud.

Sifat Peribadi
Beliau sangat menjaga tingkah lakunya dan tidak pernah terbabit dengan adab jahiliah yang buruk seperti berjudi, berzina & berpoya-poya.

Beliau juga adalah seorang yang gagah berani. Beliau pernah menyahut cabaran melawan 2 orang tentera musyrikin dalam perang Badar. Beliau banyak membunuh musuh dalam perang Uhud dan merupakan pemegang panji-panji tentera Islam dalam beberapa peperangan. Beliau juga pernah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman pihak Quraisy.

Beliau adalah seorang yang cekal dan pantas bertindak. Beliau pernah ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan musuh di antara Makkah dan Syam. Pernah dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai panglima perang dalam perang Badar. Beliau merupakan seorang yang bijak mengatur strategi perang dan melancarkan serangan dengan tersusun ketika perang meletus hingga memberikan kemenangan kepada pihak Muslimin.

Pengislaman
Suatu hari Abu Jahal telah menghina dan mencerca Rasulullah SAW di Bukit Safa. Pada ketika itu, Saidina Hamzah sedang berburu. Dalam perjalanannya pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu oleh 2 orang wanita. Saidina Hamzah sangat marah dan mencari Abu Jahal yang sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul kepala Abu Jahal dengan busar panahnya hingga berlumuran darah. Kemudian beliau berkata: "Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku, silakan! Telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yang dibawanya adalah benar. Demi Allah, aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu berani, halanglah aku." Inilah detik pengislaman Saidina Hamzah. Sikap beliau ini didorong oleh perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW serta kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Pengislamannya ini menyebabkan umat Islam semakin kuat dan dihormati. Oleh itu pemimpin Quraisy mulai gentar untuk terus menindas umat Islam sesuka hati mereka.

Sumbangan Dan Pengorbanan
Antara sumbangan utama Saidina Hamzah ialah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh serta penglibatan dan peranannya di dalam semua peperangan yang melibatkan kaum Muslimin. Beliau juga banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT. Selain itu, beliau juga sentiasa mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Saidina Hamzah juga banyak membantu perkembangan dakwah Islam hingga dihormati oleh masyarakat luar.

Gugur Syahid
Beliau gugur sebagai syuhada semasa Perang Uhud setelah ditikam curi dengan lembing oleh seorang hamba sahaya bernama Wahsyi bin Harb yang dijanjikan pembebasan oleh pemiliknya, Jubair bin Muth'im, sekiranya dapat membunuh Saidina Hamzah. Setelah dibunuh, hati beliau telah dilapah oleh Hindun bt Utbah, isteri Abu Sufyan kerana ingin membalas dendam di atas kematian bapanya, Utbah bin Rabi'ah.

Semoga rohnya dicucuri rahmat olehNya...

COPY BY: NUR HANIZAH


No comments:

Post a Comment