AHLI SUFFAH
Ahli
Suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah SAW yang daripada
mereka dikatakan bermulanya aliran sufi atau tasauf. Mereka dikenali
sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah SAW di kota Madinah.
Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri
daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran
dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan Ahli Suffah yang
demikian, kaum Muslimin tidak menganggap mereka sebagai beban. Kaum
Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada
golongan yang lemah itu.
Apabila
perkembangan Islam telah pesat, ternyata peranan Ahli Suffah sangat
penting. Tindakan Rasulullah SAW menyediakan tempat di beranda masjid
Baginda SAW untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu
tindakan yang sangat berhikmah. Ahli Suffah yang juga ahli masjid Rasulullah SAW merupakan kumpulan yang paling hampir dengan Baginda SAW serta dicintai Baginda.
Merekalah yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah SAW. Mereka
sentiasa hadir di dalam majlis Baginda SAW. Mereka mempelajari al-Quran
secara langsung daripada Rasulullah SAW. Peranan mereka adalah umpama
perpustakaan yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad SAW.
Mereka
hanya menceburi satu bidang sahaja dalam kehidupan ini, iaitu bidang
ilmu Rasulullah SAW. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang
sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. ‘Khazanah ilmu
agama’ itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang
menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak dapat hadir di
dalam majlis Rasulullah SAW dan juga kepada mereka yang baru memeluk
Islam. Ahli Suffah, ahli masjid Nabi SAW atau ahli sufi pada zaman
Rasulullah SAW merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu
sepanjang masa. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu.
Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada Ahli Suffah, ahli masjid
Nabi SAW, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah SWT memperakui kepentingan
sumbangan mereka kepada perkembangan agama-Nya.
Ahli
Suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah SAW merupakan orang yang
tidak memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan apa-apa kecuali Allah
SWT dan Rasul-Nya. Mereka dikenali sebagai faqir yang terikat
pada jalan Allah SWT. Jalan Allah SWT bukan semata-mata berperang
mengangkat senjata, memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan
jihad yang besar. Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang
khusus dalam bidang tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat
penting. Jika tenaga khusus itu disalurkan kepada bidang pekerjaan
harian, maka urusan pemeliharaan ilmu agama akan terjejas, sedangkan
ianya sangatlah penting bagi perkembangan agama.
Al-Quran
menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar
berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan
perang itu adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Allah SWT
telah memberikan garisan pembahagian tugas dalam pembangunan masyarakat
dan perkembangan agama. Berperang mengangkat senjata dan berjuang
mengembangkan ilmu agama sama-sama mendapat penghargaan dari Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli ilmu.”
Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli
jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh
Rasul. Baginda SAW juga bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat tinta ulama ditimbang dengan darah syuhada.”
Ahli
sufi pada zaman Rasulullah SAW merupakan orang-orang yang menyediakan
diri mereka semata-mata untuk Allah SWT dan Rasul-Nya. Mereka berfungsi
sebagai penyimpan ilmu al-Quran dan Hadis dan juga segala jenis ilmu
agama. Mereka memancarkan ilmu-ilmu tersebut ke seluruh pelusuk muka
bumi. Inilah dasar yang perlu diperhatikan dalam memperkaitkan Ahli
Suffah dengan ahli sufi yang datang kemudian.
Jihad
yang paling besar adalah jihad mengangkat senjata dan orang yang mati
kerananya memperolehi syahid. Pekerjaan yang begitu besar dan mulia
dikecualikan daripada ahli ilmu sepenuh masa, apa lagi pekerjaan yang
berhubung dengan urusan mengisi perut. Pada zaman Rasulullah SAW, puak
yang bekerja khusus dalam bidang ilmu agama itu ditanggung oleh
pemerintah, iaitu Rasulullah SAW sendiri.
Oleh
kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri dalam urusan mencari rezeki,
maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan kesenangan. Mereka
hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia, tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan Rasul-Nya.
Lidah dan pena mereka adalah pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka
pelajari dan sebarkan itulah darah syahid mereka. Rasulullah SAW
memperakui bahawa golongan demikian sebagai kumpulan yang paling hampir
dengan darjat Kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu Nabi-Nabi.
Rohani mereka adalah cermin jernih yang menerima pancaran cahaya
Kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu agama, terutamanya dalam soal akidah.
Kerajaan
Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW bermula di Madinah. Semakin
besar kerajaan Islam, semakin besar dan berat tugas yang dipikul oleh
Rasulullah SAW. Baginda SAW dibantu oleh empat orang ‘Menteri Kanan’.
Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Siapa pula ‘kakitangan
kerajaan’ yang membantu Rasulullah SAW dan ‘Menteri-menteri’ Baginda
SAW? Mereka adalah Ahli Suffah yang bekerja sepenuh masa untuk
Rasulullah SAW. Kebanyakan daripada masa Baginda SAW dihabiskan di dalam
masjid. Pengajaran, perancangan, strategi, polisi, wawasan dan
lain-lain keluar daripada Rasulullah SAW dan disebarkan oleh Ahli
Suffah. Mereka menyampaikan berita yang Rasulullah SAW ingin sampaikan kepada kaum Muslimin.
Ahli
Suffah yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan
teratur sebagai persiapan mempertahankan agama dan negara Islam. Ahli
Suffah juga mengatur pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi
dan pedang. Ahli Suffah juga menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan
unta dan kuda mereka supaya apabila diperlukan semuanya berada dalam
keadaan siap sedia. Kehadiran Ahli Suffah, ahli masjid Nabi SAW atau
ahli sufi itulah yang memudahkan Rasulullah SAW mentadbir negara Islam
dari dalam masjid Baginda.
Ketika
bilangan tentera Islam masih sedikit, Ahli Suffah pernah ikut serta
berperang. Jadi, Ahli Suffah adalah satu kumpulan yang sangat aktif
bekerja untuk Allah SWT dan Rasul-Nya tanpa gaji. Apa sahaja yang
Rasulullah SAW berikan, itulah bahagian mereka bagi menyara kehidupan
mereka. Mereka redha dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama mereka
tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang mereka cari hanyalah keredhaan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Semoga mereka diredhai Allah SWT dan Rasul-Nya. Amien...
aman.
COPY BY: NUR HANIZAH
No comments:
Post a Comment