Membuang bayi adalah cara yang paling mudah dilakukan oleh pasangan yang
melakukan penzinaan dan hamil. Bagi kebanyakan kes, perempuan yang
dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di atas perbuatan tersebut.
Isu
pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di
Malaysia malah di merata tempat. Di Brunei, seorang wanita dijatuhi
hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan kematian seorang bayi
dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi
berkenaan mati kelemasan. Di Indonesia, seorang penduduk Bekasi melihat
benda berwarna kuning disyaki bayi terapung-apung di tepi sungai. Di
China pula seorang bapa membuang anaknya yang berusia setahun ke dalam
sungai kerana menyangka anaknya itu mati setelah tidak sedarkan diri
kerana sakit perut. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja
perempuan berumur 19 tahun, Krystal Johnson dituduh membunuh setelah
membuang bayinya ke kawasan yang kotor.
Di Malaysia, gejala ini
terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun
1999, sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat
kepada 97 kes. Peningkatan bilangan kes ini memerlukan langkah-langkah
penyelesaian dari akar umbi punca tersebut.
Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?
Tempat
yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat
pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang
atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti
gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut
menjadi pilihan.
Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran
kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada sesetengah kes yang
pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke
dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku
yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka
dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di
hadapan rumah orang yang berpengaruh.
Pelaku membuang bayinya di
tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan
kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau
15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk
menerima kelahiran tersebut.
Pembuangan bayi melibatkan banyak
faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada
satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah,
sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Kajian yang
dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti
Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja
Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko
tinggi atau bermasalah” memberi pendedahan betapa punca sebenar terletak
pada keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke
atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka
meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar remaja untuk
mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan
pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan
perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak menjadi liberal,
bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.
Masalah
akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu
masalah yang wujud sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih
awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah, capaian yang mudah terhadap
bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang sering
kali diperkatakan. Namun, jarang kita membuat analisis terhadap
perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada proses
sosialisasi.
Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses
sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana untuk bertingkah laku.
Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama,
pertubuhan bukan kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan
kumpulan rakan sebaya. Nilai-nilai dipelajari dan dinyatakan melalui
perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju tindakan terakhir yang
boleh dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul
atau salah.
Nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat akan
mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana fungsi nilai ialah
mengehadkan ruang dan peluang untuk konflik daripada merebak dan
mengganggu sistem nilai, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
Kemodenan
menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi.
Nilai-nilai tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong,
ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di dalam masyarakat
moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di
bandar-bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar.
Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya
dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan
kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak
untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan
nilai-nilai yang tidak menyumbang kepada kemajuan.
Justeru, dalam
kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan
memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara
negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain
pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka
yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini
dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh
kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang
ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan
kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan
diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda
berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh
ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.
Di Amerika
Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru
dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba,
agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang
yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci.
Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa
tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa
boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat.
Rasional
kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat
yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai.
Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat
menyedihkan. Melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan, ibu
muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan
jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa
dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat
terhadap undang-undang “Safe Haven” ini turut dibantu oleh jaringan ibu
bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja
yang terlibat. Salah satu daripadanya ialah www.robynsnest.com/.
Melihat
penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang
dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga
angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh
Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa.
Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang,
pagar masjid atau di hadapan rumah kita?
Penyelesaian yang
terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang
menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak
kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya
masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi
pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari
setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan
hukuman sedia ada ini?
Dipetik daripada:
http://zahirzainudin.blogspot.com/2007/03/pembuangan-bayi-mencari-punca-dan.html
Copy by:Fatimah
No comments:
Post a Comment