Fadilat zakat itu membuka pintu rezeki
Ramai orang selalu mengeluh, kononnya rezeki mereka sempit. Kerja dah bersungguh-sungguh; namun rezeki masih tidak seperti mana yang didambakan. Kais pagi makannya petang; tak ada kerja tak adalah makan. Susah benar menongkah arus kehidupan.
Sebenarnya, ramai orang tidak sedar 
bahawa zakat adalah salah satu cara membuka pintu rezeki. Apabila pintu 
rezeki sudah dibuka Allah SWT, maka tiada sesiapa pun dapat menutup dan 
menghalangnya. Apabila pintu rezeki sudah dibuka Allah; maka melimpah 
segala keberkatan buat kita. 
Mungkin ada orang bertanya, apakah 
pertanda rezeki sudah dibukakan oleh Allah SWT. Adakah mestinya kita 
mendapat banyak harta, perniagaan mendapat laba, gaji mendadak naik lima
 angka dan sebagainya lagi. Mestikah rezeki itu indikatornya adalah wang
 dan benda? Inilah masalahnya, kerana manusia awam seperti kita sering 
menafsirkan rezeki dengan wang dan harta.
Rezeki boleh sahaja datang dalam bentuk 
yang lain. Sebutkan sahaja, nikmat kesihatan diri dan keluarga, maka itu
 juga rezeki. Nikmat masa kerana dapat sentiasa bersama orang yang 
tersayang, maka itu juga rezeki. Nikmat melihat, merasa dan mampu 
memejamkan mata kala malam menjelma, itu juga rezeki. Tiada pergaduhan 
sesama ahli keluarga, itu adalah rezeki. Perhubungan yang mesra sesama 
suami isteri dan itu juga rezeki. Kereta dan motorsikal kita tidak 
meragam, kan itu juga rezeki. Dan sesungguhnya memang terlalu banyak 
yang mampu disajikan di sini yang boleh didefinisikan sebagai rezeki 
daripada Allah SWT.
Maka, jangan kata saya sudah berzakat 
tetapi masih tak naik-naik pangkat sebagai pertanda zakat kita tidak 
mendatangkan keberkatan dan kemurahan rezeki. Saya ada pengalaman 
tersendiri, saya pernah terlepas dalam promotion satu waktu dahulu; 
namun Allah SWT membukakan pintu rezeki daripada sumber-sumber lain yang
 kita sendiri tidak jangkakan. Dan saya yakin teramat yakin, semuanya 
datang berkat usaha saya yang bukan sekadar menunaikan zakat; tetapi 
juga kesungguhan saya menyeru manusia lain agar menunaikan zakat.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, 
mengerjakan amal saleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka 
mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka 
dan tidak pula mereka bersedih hati,” (al-Baqarah: 277)
Wallahua’lam!
COPY BY: NUR HANIZAH 
No comments:
Post a Comment