MASALAH GEJALA SOSIAL
Antara gejala sosial yang berlaku dalam 
kalangan remaja adalah ponteng sekolah dan kelas, merosakkan harta benda
 sekolah dan awam, merokok, mencuri, buli, gangsterisme, penyalahgunaan 
dadah, rempit, pergaulan bebas, melihat atau menonton bahan lucah, seks 
luar nikah, pelacuran, pembuangan bayi dan telah sampai ke peringkat 
membunuh. Di samping itu terdapat juga gejala sosial dalam aspek 
meninggalkan atau tidak memahami ajaran agama seperti tidak solat, tidak
 berpuasa, tidak tahu mengangkat hadas besar, tidak tahu membaca 
al-Quran dan sebagainya.
A. Latar Belakang Gejala Sosial di Malaysia
 Pada tahun 1960-an, negara dikatakan masih baru menerima kemerdekaan 
dan isu-isu sosial remaja sangat jarang diperkatakan. Namun, perhimpunan
 golongan “hipi”  di Woodstock,  Amerika Syarikat sekitar tahun 1969 
secara tidak langsung memulakan satu lembaran baru dalam episod 
kehidupan remaja di Malaysia dan isu pergolakan sosial remaja mula 
muncul di negara ini pada tahun tersebut. Pengaliran budaya tersebut ke 
negara ini telah memberi impak yang negatif kepada masyarakat Malaysia 
kerana kehidupan mereka sering kali dikaitkan dengan masalah dadah. Ini 
disebabkan pengikut budaya “hipi” dan penagihan dadah dikatakan agak 
sinonim kemunculan kumpulan muzik yang memuja dadah dalam nyanyian 
mereka seperti Rolling Stone  merangsangkan lagi pertumbuhan masalah 
dadah di kalangan remaja di Malaysia. Malah, salah satu nama simbolik 
untuk dadah yang selalu digunakan oleh remaja pada masa tersebut adalah 
stone. Penularan budaya “hipi” terutama dalam kalangan remaja Bandar 
pada penghujung tahun 1960-an jadi merebak sehingga awal tahun 1970-an. 
Budaya ini amat jauh bertentangan dengan norma kehidupan yang 
dipraktikkan oleh masyarakat timur. Budaya “hipi” juga dikatakan sebagai
 penjajahan mental remaja manusia supaya terus terikat dengan budaya 
kolonial yang dibawa sebelum ini. Bersama-sama dengan pengaruh “hipi”, 
masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja mula menyerang negara 
sehingga kerajaan mengambil langkah untuk mengisytiharkan dadah sebagai 
musuh nombor satu negara. Malah, peperangan ke atas musuh utama ini 
masih berjalan sehingga sekarang. Pada pertengahan tahun 1970-an, 
masalah penagihan dadah yang tidak pernah berkurangan ditambah pula 
dengan masalah penagihan alkohol. 
 Kemelesetan ekonomi dunia 
yang menyebabkan kadar pengangguran dan kemiskinan penduduk meningkat. 
Kesannya, ramai remaja melepak di kompleks membeli-belah sambil 
mendengar lagu irama rock dan berimej “punk”  dan “Mohican” . Budaya ini
 menjadi kegilaan remaja pada masa itu sebagai langkah melarikan diri 
daripada realiti kehidupan sebenar yang perlu mereka tempuhi. Imej 
devian yang dibawa oleh remaja yang berkumpul secara beramai-ramai tanpa
 hala yang pasti itu merupakan satu proses penyesuaian diri dengan 
pengaruh muzik yang mereka dengar dan dianggap up to date. Fenomena 
tersebut juga dikenali sebagai “budaya lepak”  dan ia menjadi satu 
masalah sosial negara yang menarik perhatian kerajaan untuk bertindak 
tegas kepada golongan remaja terbabit. Pada pertengahan tahun 1980-an 
pula, Pelan Induk Perindustrian Negara Pertama diperkenalkan dan Dasar 
Pensyarikatan serta Penswastaan dilaksanakan. Kepesatan pembangunan 
perindustrian negara menyebabkan berlakunya migrasi golongan muda dari 
kawasan luar bandar ke bandar untuk memenuhi permintaan tenaga buruh di 
sektor tersebut. Seiringan dengan itu masalah bohsia dan bohjan atau 
kegiatan seks bebas dalam kalangan remaja mula dihadapi oleh negara. 
Ketika itu juga, masalah penagihan dadah bentuk baru seperti menghidu 
gam dan petrol serta penggunaan ubat batuk secara berlebihan bermula. 
Walaupun ketiga-tiga jenis bahan rangsangan tersebut bukanlah jenis 
dadah yang sebenar tetapi tujuan penggunaannya adalah sama iaitu untuk 
menjadikan diri berada dalam keadaan khayal. Ia digemari oleh remaja 
kerana harganya murah dan mudah didapati. Penggunaan bahan ransangan 
seperti gam dan ubat batuk itu tadi secara langsung mengikat diri remaja
 untuk mencuba dadah-dadah lain yang lebih berat dan berbahaya seperti 
ganja (ia juga dikenali sebagai dam, pot, stone, sayur dan tahi 
kambing), heroin (juga dikenali sebagai chok, tepung, teh dan fit) dan 
morfin (atau dipanggil quenn, dragon dan serbuk). 
 Pada awal 
tahun 1990, kerajaan melancarkan Dasar Pembangunan Nasional sebagai 
ganti kepada Dasar Ekonomi Baru serta menjadikan Wawasan 2020 sebagai 
pemacu pembangunan negara untuk menjadi sebuah negara maju. Salah satu 
cabaran Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat yang bermoral dan 
beretika sepenuhnya yang mempunyai warganegara yang kukuh dalam nilai 
agama dan kejiwaan serta didorong oleh tahap etika paling tinggi. Walau 
bagaimanapun, ketika kerajaan melancarkan matlamat ini masalah pembungan
 bayi sedang hebat berlaku di Malaysia. Ia berpunca daripada kegiatan 
“bohsia”  dan “bohjan”  yang wujud pada pertengahan tahun 1980-an dahulu
 yang mengamalkan seks bebas tanpa batasan. Remaja pada peringkat umur 
yang terlalu muda dan terlanjur mengambil jalan mudah menyelesaikan 
masalah malu dan takut mereka dengan membuang anak sendiri di tempat 
pelupusan sampah, sungai, semak, kawasan pembinaan dan sebagainya. 
Namun, sehingga pertengahan tahun 1990-an, fenomena kegiatan seks bebas 
dan pembuangan bayi di kalangan remaja masih berlarutan.  
 Dalam
 tahun 1991-1996, sejumlah 278 kes telah direkodkan. Peningkatan yang 
ketara sebanyak 90 peratus dikenal pasti berlaku khususnya sepanjang 
tempoh tahun 1994, 1995 dan 1996. Kemakmuran pertumbuhan ekonomi negara 
ketika itu dikatakan penyebab utama fenomena ini berlaku. Kenyataan 
tersebut tidak terlalu prejudis atau dibuat secara semberono tetapi 
mempunyai asas yang kukuh dan ada kewajarannya memandangkan bentuk 
keluarga tradisional telah bertukar kepada keluarga nukleas di bandar 
dan kaum wanita mulai memasuki pasaran kerja secara beramai-ramai 
menyebabkan ikatan kekeluargaan semakin longgar. Pada masa yang sama, 
anak-anak remaja kehilangan perhatian dan tumpuan yang sepatutnya 
diberikan oleh ibu bapa. Malah, Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) dengan
 jelas mengaitkan fenomena sosial remaja ini dengan faktor seperti 
kepesatan perbandaran, kemajuan perindustrian dan penghijrahan penduduk.
 
 Pada tahun 1996, Pelan Induk Perindustrian Negara Kedua serta 
RM-7 dilancarkan dan masalah kegiatan seks bebas remaja diganti pula 
dengan aktiviti pelacuran bawah umur. Selain itu, penagihan dadah 
berbentuk pil psikotik atau pil khayal seperti amphetamine, extacy dan 
syabu turut dikesan dalam kehidupan sosial remaja. Walhal, RM-7 sendiri 
meletakkan matlamat menangani gejala sosial di kalangan remaja sebagai 
satu rangka dasar penting yang mesti yang mesti dilaksanakan kerajaan. 
Sebelum ini, tidak pernah ada satu pun rancangan Malaysia yang dibuat 
menyentuh secara spesifik tentang perkara menangani masalah sosial. 
Rangka dasar bagi menangani masalah sosial yang terkandung dalam RM-7 
dinyatakan seperti berikut:
"Kemajuan perindustrian dan peningkatan 
pembandaran serta penghijrahan luar bandar ke bandar telah mengakibatkan
 berlakunya peningkatan tingkah laku sosial yang negatif. Masalah sosial
 seperti penagihan dadah, penderaan kanak-kanak, lepak, jenayah juvana, 
gaya hidup yang tidak sihat serta ketegangan dalam keluarga telah mula 
timbul. Dalam tahun 1994, 17 600 kes penagihan dadah; 8938 kes AIDS; 871
 kes penderaan kanak-kanak dan 4774 kes lari dari rumah telah 
dilaporkan. Dengan mengambil kira kes yang tidak dilaporkan, situasi ini
 mungkin lebih teruk dan masalah ini boleh merosakkan moral generasi 
akan datang jika langkah tidak diambil untuk mengatasinya. Dalam konteks
 ini, kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa  peringkat tinggi 
antara agensi untuk menggubal dasar dan program bagi meningkatkan lagi 
pembangunan sosial dan keluarga. Sokongan institusi akan dikaji semula 
bagi membolehkan tumpuan yang lebih besar dan penyelarasan program 
pencegahan dan pemulihan bagi kumpulan sasaran khusus seperti 
kanak-kanak, belia dan ibu bapa. Pendidikan agama dan moral akan 
dipergiatkan bagi memupuk tingkah laku yang baik dan menggalakkan gaya 
hidup sihat". 
Sehubungan itu, pemberian seks secara percuma oleh
 gadis-gadis remaja yang bergelar “bohsia” melalui pergaulan bebas 
didapati tidak lagi diamalkan memandangkan kepesatan pembangunan ekonomi
 negara menuntut mereka “menghargai” kehidupan melalui penampilan gaya 
hidup yang lebih mewah. Oleh yang demikian, seks bebas yang bertujuan 
untuk keseronokan tadi bertukar kepada perkhidmatan seks berbayar dan 
mereka secara langsung bergelar “bohsia berbayar” atau dalam kajian 
pelacuran dikenali sebagai pelacur meskipun mereka masih di bawah umur. 
Kegawatan ekonomi yang melanda negara semenjak pertengahan tahun 1997 
menjadikan aktiviti pelacuran remaja semakin meningkat sehingga ke hari 
ini. Dari tahun 1989-1999, Kuala Lumpur dan Johor mencatatkan jumlah 
tangkapan gadis pelacur tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Gadis 
daripada etnik Cina dan Melayu didapati paling ramai melibatkan diri 
dalam aktiviti pelacuran di Malaysia. 
 Kajian yang dibuat oleh 
Lukman Z. Mohamad dan Zuriana Zahrin terhadap 60 orang gadis remaja 
bawah 21 tahun yang ditahan di pusat pemulihan akhlak kerana kesalahan 
melacurkan diri mendapati sebahagian besar remaja yang menjadi pelacur 
(85.0%) berada dalam lingkungan 15-20 tahun. Namun, terdapat segelintir 
mereka (13.3%) yang berusia 12-14 tahun. Situasi sebegini amat 
memeranjatkan kerana pada usia yang begitu muda mereka berani mengambil 
risiko yang tinggi dalam usaha mengejar kemewahan hidup. 
 Pada 
penghujung 1990-an Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) berkembang 
dan begitu pesat di Malaysia. Internet telah semakin banyak dipasang dan
 digunakan di rumah-rumah. Perkembangan internet walaupun banyak 
faedahnya daripada segi capaian ilmu pengetahuan dan komunikasi tetapi 
telah mendedahkan masyarakat kepada bahan pornografi atau lucah dan 
golongan remaja tidak terkecuali daripada menerima kesan buruk ini. Para
 remaja mengambil kesempatan untuk melayari laman-laman web lucah ketika
 ibu bapa tiada di rumah atau ketika ibu bapa mereka tidur. Bahkan di 
ketika ibu bapa sedang jaga pun masih ada yang melayarinya kerana banyak
 ibu bapa yang tidak mahir dengan komputer dan internet membolehkan para
 remaja berkenaan menggunakan cara hide windows ketika ibu bapa datang 
ke arah mereka. Keadaan ini ditambah buruk lagi dengan penjualan video 
cereka padat (VCD) lucah yang boleh dikatakan mudah didapati di 
bandar-bandar besar. Kini masalah ini semakin berleluasa di mana 
video-video lucah dengan mudah boleh dimuat turun daripada internet 
secara mudah. Dengan perkembangan teknologi telefon bimbit, kini, 
klip-klip gambar dan video lucah boleh dihantar melalui telefon bimbit. 
Keadaan ini telah menyebabkan penyebaran bahan-bahan lucah dalam 
kalangan remaja  semakin sukar dikawal. Salah satu lagi yang membuka 
jalan kepada pendedahan terhadap info dan bahan-bahan lucah dalam 
kalangan remaja ialah aktiviti chatting melalui ruangan sembang maya. 
Remaja dapat “bersembang” dengan sesiapa sahaja tanpa terlebih dahulu 
mengenali orang berkenaan. Ini menyebabkan mereka tidak segan untuk 
bersembang tentang sebarang hal termasuklah yang berkaitan dengan seks. 
Ada yang disebabkan oleh rasa ingin tahu mengambil kesempatan untuk 
bertanya hal-hal seks kepada orang yang lebih berpengalaman. Ada kalanya
 mereka mendapat info tentang tentang seks dan laman web lucah daripada 
pengguna ruangan chatting yang nakal walaupun mereka tidak berniat untuk
 mencarinya. Hasil daripada chatting ada kalanya membawa kepada 
pertemuan antara pasangan yang pernah berchatting dan hal ini banyak 
berlaku dalam kalangan remaja. Akibatnya, ada remaja perempuan yang 
telah dirogol setelah bertemu dengan teman chatting  dan ada yang 
melakukan hubungan seks setelah berkali-kali bersembang tentang seks dan
 melakukan cyber sex di ruangan chatting.
Copy by:Fatimah 
No comments:
Post a Comment