Malam Nisfu Syaaban
SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad
 SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan 
buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih 
oleh Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Ata’ ibn Yasar berkata: “Apabila tiba malam 
Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal 
dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. 
Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan 
menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang
 yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam
 Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban.”
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata: “Sesungguhnya Allah akan
 memutuskan semua qadha’ hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan 
menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar.”
Malam pengampunan
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: 
“Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, 
maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; 
golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan).”
Imam al-Auza’i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap pelaku 
bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan
 ummah (Muhammad SAW).
Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani’: Saya bertanya Ibnu Thauban 
tentang makna musyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang 
meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan
 darah mereka.
Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah 
SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah 
mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir
 dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga 
mereka meninggalkannya.”
Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya 
daripada Aisyah RA berkata: “Pada suatu malam, saya kehilangan 
Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda
 SAW di Baqi’ sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW 
bersabda: “Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?” Aisyah RA
 berkata: “Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma 
menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain.”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada 
malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang 
lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab.”
Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca:
 “Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, 
dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. 
Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana 
pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan 
oleh saudaraku, Daud AS “Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan 
berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya.”
Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: “Ya Allah! 
Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan 
tidak celaka.”
Daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Pada malam Nisfu 
Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia,
 lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan 
orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang 
bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang 
meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.
“Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan
 sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang 
dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh 
jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan 
silaturrahim.”
Mustajab doa
Abu Sa’id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah berkata,
 “Wahai Abu Sa’id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang pernah kamu
 dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu pula 
apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW.”
Berkata Abu Sa’id RA, “Apabila Rasulullah SAW keluar solat Subuh, 
Baginda SAW akan membaca: “Ya Allah! Penuhilah pendengaranku dengan 
cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku 
dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku 
dengan cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan 
hidayah dengan rahmat-Mu terhadapku.”
Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah: “Wahai Aisyah! 
Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan menzalimimu?” Aisyah berkata,
 “Saya berkata, “Bukan begitu, wahai Rasulullah!” Sabda Baginda: “Telah 
datang kepada saya Jibril AS dan berkata, “Wahai Muhammad! Malam ini 
ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia
 dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam 
ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang
 yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang 
melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu 
bapa dan orang yang berterusan minum arak.”
Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang 
dibacanya, maka Baginda bersabda, “Wahai Aisyah! Adakah kamu telah 
mengetahuinya?” Saya berkata, “Ya.” Baginda bersabda, “Pelajarilah dan 
ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada saya dan menyuruh
 saya mengulang-ulangnya di dalam sujud.”
sumber : FB http://www.facebook.com/sudin.sahak
Copy by:Fatimah 
No comments:
Post a Comment